BERITA UTAMASELANGOR

Selangor mahu tempoh pelupusan kereta dipendekkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Negeri berharap tempoh pelupusan kereta dipendekkan bagi membolehkan pusat tunda kenderaan buruk dan terbiar tidak penuh, saban tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hal itu kerana tempoh pelupusan kenderaan buruk dan terbiar di depoh Pihak Berkuasa Tempatan memakan masa sehingga enam hingga ke 12 bulan.

“Disebabkan itu, kenderaan di depoh kenderaan terbiar dan buruk di Selangor semakin bertambah sehingga menimbulkan pelbagai masalah serta peningkatan kos terhadap PBT yang menyelenggara depoh terbabit.

“Juteru, kami berharap garis panduan baru berkenaan tempoh pelupusan yang dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan akan mendapat reaksi positif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke Depoh Kenderaan Buruk dan Terbiar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Seksyen 26, hari ini.

Hadir sama Setiausaha MBPJ, Syarifah Marhani Syed Ali dan Pengarah Penguat kuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Selangor mempunyai 19 Depoh Tunda Kenderaan Terbiar/ Buruk sehingga kini dengan jumlah sitaan 3,964 (2017) manakala 2,186 buah, pada 2018.

Katanya, kenderaan dilupuskan pula ialah 2,926 buah, pada 2017 sementara pada 2018 ialah 1,618 buah.

“Ekoran itu, jumlah kenderaan terbiar dan buruk ini semakin bertambah dan saya amat berharap orang ramai lebih peka melupuskan kenderaan lama yang mereka sudah tidak mahu.

“Sepatutnya anda perlu tahu bagaimana caranya hendak melupuskan kenderaan yang sudah buruk supaya masalah ini tidak semakin banyak,” katanya.

 


Pengarang :