EKONOMISELANGOR

Selangor sasar pelaburan RM7 bilion sektor pembuatan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Kerajaan Negeri mengintai pelaburan RM7 bilion menerusi sektor pembuatan tahun ini berbanding hanya RM5.8 bilion tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah pelaburan itu dijangka dicipta menerusi sektor makanan dan minuman, elektronik dan elektrik, sains hayat, jentera dan peralatan, serta peralatan pengangkutan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu bergantung kepada sektor perkilangan sahaja kerana Selangor mempunyai pelbagai jenis aktiviti ekonomi dan infrastruktur lain.

“Kita mempunyai semua infrastruktur dan aktiviti, kita tidak boleh bergantung kepada industri perkilangan sahaja.

“Kekangan kita ketika ini adalah bagaimana untuk meningkatkan potensi kita,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS), Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, jumlah itu diyakini mampu dicapai berdasarkan situasi pasaran dijangka lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu.

Agensi Penggalak Pelaburan Negeri itu turut menyasar pelaburan keseluruhan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM7 bilion dijangka datang daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik, manakala RM5 bilion pula daripada sektor perkhidmatan.

Tahun lalu, Selangor menarik RM5.59 bilion pelaburan langsung dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan bernilai RM4 bilion, terutamanya dari peruncit perabot terbesar di dunia, IKEA, dengan penubuhan sebuah pusat rantaian bekalan di Pulau Indah, bernilai RM908 juta.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekali gus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.


Pengarang :