SELANGOR

Selangor terus sumbang 25% projek perkilangan di Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Selangor mencatatkan nilai pelaburan iaitu sebanyak RM812,649,654 bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri, Dato’ Teng Chang Khim berkata, nilai pelaburan itu menjadikan Selangor di kedudukan keenam, ketika ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM426,893,005 daripada pelaburan tempatan dan RM385,765,649 daripada pelaburan asing.

“Daripada nilai pelaburan ini, Selangor merekodkan sebanyak 38 projek perkilangan. Ia diikuti dengan Johor sebanyak 31 projek dan Pulau Pinang, 22 projek.

“Ini menunjukkan Selangor menyumbang sebanyak 25 peratus dari keseluruhan jumlah projek perkilangan yang diluluskan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang).

Chang Khim berkata, daerah Petaling mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berbanding daerah lain dengan pelaburan sebanyak RM347,090,118 (12 projek).

Katanya, ia diikuti daerah Klang sebanyak RM112,403,322 (9 projek) dan Kuala Langat sebanyak RM101,637,700 (3 projek).

Terdahulu, bagi tempoh yang sama Negeri Terengganu mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berbanding negeri lain, dengan pelaburan sebanyak RM4,163,610,000.

Ia diikuti negeri Pahang, RM3,454,360,450; Negeri Sembilan sebanyak RM1,179,068,065; Pulau Pinang sebanyak RM1,019,329,929 dan Johor RM868,085,396.


Pengarang :