SELANGOR

Selaras pembangunan kawasan luar bandar dan desa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri komited mahu menyelaras kembali hal pembangunan luar bandar dan desa di Selangor selepas pentadbiran Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PAKATAN).

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, sejak pentadbiran Kerajaan Negeri diambilalih oleh PAKATAN daripada Barisan Nasional pada tahun 2008, hal pembangunan luar bandar diurus oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) tanpa campur tangan pentadbiran Persekutuan.

“Kini, pentadbiran Persekutuan serta negeri iaitu ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan UPEN kini memulakan perbincangan untuk menyelaras perkara ini.

“Peruntukan dan projek luar bandar daripada Kerajaan Negeri diselaraskan oleh UPEN manakala peruntukan dan projek luar bandar daripada Kerajaan Persekutuan diselaraskan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Rodziah berkata, perbincangan antara UPEN dan ICU sudah dijalankan bagi mengenalpasti kaedah atau mekanisme terbaik bagi penyelarasan peruntukan dan projek luar bandar yang bertindih antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Untuk makluman, pihak UPEN sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama ICU, JPM. Perbincangan pertama adalah pada 25 Jun 2018, kemudian pada 12 Julai dan yang ketiga pada 3 Ogos 2018.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menerima apa-apa dasar baharu daripada Kerajaan Persekutuan secara bertulis berkaitan dengan peruntukan di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :