NASIONALSENI

Selepas raih RM40 juta, Munafik 2 sasar ke Indonesia, Hong Kong, Vietnam

KUALA LUMPUR 17 SEPT: Kejayaan filem Munafik 2 meraih kutipan RM40 juta selepas 17 hari tayangan disifatkan pengarahnya, Syamsul Yusof sebagai pencapaian yang bukan hanya membanggakan diri, tetapi juga industri perfileman Melayu.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ketika minggu pertama filem ini mencatat kutipan hebat, saya terus demam. Alhamdulillah, apabila kembali sembuh, saya dimaklumkan pula Munafik 2 mendapat RM40 juta sepanjang 17 hari tayangan.

“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakan. Saya percaya, maklum balas positif ini turut dibantu hebahan daripada mulut ke mulut dan media sosial. Saya sangat bersyukur dan berharap mesej filem ini sampai serta menjadi inspirasi kepada pendakwah di luar sana.

“Fenomena ini juga memberi semangat baharu buat saya dan penerbit lain untuk terus menghasilkan filem yang berkualiti,” katanya lapor BH ONLINE.

Syamsul berkata, kejayaan Munafik 2 juga membuktikan filem mampu menjadi medium kepada mereka yang mencari ilmu dan bukan menyajikan hiburan kosong semata-mata.

Filem genre seram Islamik itu memberi bayangan bakal melakar sejarah tersendiri apabila mengaut RM 2 juta pada sesi tayangan awal (sneak preview), 29 Ogos lalu, sekali gus meleburkan rekod filem Hantu Kak Limah yang memperoleh RM650,000.

Munafik 2 yang juga filem ke-40 terbitan Skop Productions Sdn Bhd turut mencipta sejarah apabila mencatat RM3.6 juta pada hari pertama tayangan.

“Penerimaan ramai terhadap Munafik 2 dan Hantu Kak Limah membuktikan filem Melayu masih unggul serta mampu menarik khalayak ke pawagam,” katanya.

Syamsul pada masa sama, teruja dan berdebar menantikan reaksi penonton Indonesia apabila filem itu bakal memasuki pawagam di negara itu bermula 26 September ini.

“Setiap kali menghasilkan karya baharu, ayah selalu menasihatkan saya supaya tidak meletak sebarang sasaran. Apa yang penting katanya, adalah menghasilkan filem berkualiti.

“Saya dapat merasai keterujaan peminat di Indonesia menanti tayangan filem ini. Berdasarkan statistik trailer filem ini di YouTube, 50 peratus tontonan adalah dari negara itu.

“Selain Indonesia, kami juga merancang memasuki pasaran Hong Kong dan Vietnam. Mengenai kutipan, saya hanya berserah kepada rezeki,” katanya.

Munafik 2 dibintangi barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi. Filem ke-10 arahan Syamsul itu menelan belanja RM2.9 juta.

Filem Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 merekodkan kutipan keseluruhan RM17 juta.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :