NASIONAL

Shafee Abdullah didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dan membuat penyata tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan akta cukai ditetapkan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa membabitkan diri dengan pengubahan wang haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kedua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta serta penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, tertuduh didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada akitiviti haram, iaitu membuat penyata tidak betul bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa meninggalkan pendapatan diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan diterima, pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib.

Ia dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh dengan tertuduh dikehendaki Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kedua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Afzainizam Abdul Aziz.

Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinder Singh, Chetan Jethwani, Datuk Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :