BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

SIBS 2018 bawa Selangor jadi pintu perdagangan ASEAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS) dapat memperkukuhkan profil Malaysia di mata dunia dan menjadi rakan kongsi perniagaan yang penting di rantau ini sekali gus, membawa Selangor sebagai ‘The Gateway to ASEAN’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri membayangkan masa depan Selangor sebagai Hub Perdagangan Serantau, memandangkan Selangor pusat bagi negara Malaysia.

“Secara kebudayaan juga, orang-orang di Malaysia bercakap dalam Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris, maka usahawan akan dapat mencari rakan kongsi di sini untuk memberi anda akses ke pasaran China, India, Indonesia dan seterusnya.

“Selangor juga mempunyai 6.47 juta penduduk dan rata-ratanya berpendidikan tinggi, berbilang bahasa dan menghasilkan kurang daripada 40,000 graduan setiap tahun.

“Selangor sebagai negeri emas juga terbukti berkali-kali untuk menjadi kuasa besar di Malaysia. Sehingga 2017, Selangor menyumbang sebanyak RM 270 bilion, bersamaan dengan 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara (KDNK) dengan kadar pertumbuhan KDNK tahunan yang tinggi sebanyak 7.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian SIBS 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, tadbir urus Selangor mempunyai kekuatan dan visi serta strategi yang jelas bagi memastikan kejayaan berterusannya sebagai pilihan kediaman untuk rakyatnya serta destinasi pelaburan utama bagi pelabur tempatan dan asing.

Katanya, selain mempunyai semua unsur yang menjadikan negeri sebagai kuasa ekonomi, Selangor juga menghasilkan bilangan pekerja mahir yang tertinggi dan mempunyai infrastruktur bertaraf dunia.

“Malah, merupakan salah satu daripada sebelas pelabuhan terbesar di dunia dan mempunyai dua lapangan terbesar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sebanyak lima kelompok teras ditonjolkan antaranya elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, sains hayat, jentera dan peralatan serta pengangkutan.

“Bagi terus menarik pelaburan, Selangor akan terus memberi tumpuan kepada lima kelompok yang disebut tadi dan meletakkan tumpuan khusus bukan sahaja kepada bioteknologi, tetapi juga penjagaan kesihatan dan industri peralatan perubatan.

“Ketika pasaran global dibuka, Selangor perlu bersaing dengan negara-negara yang lebih maju dan perlu mematuhi terutamanya dari segi teknologi untuk mendahului persaingan.

“Ini adalah sebab mengapa Selangor mempromosikan sektor bioteknologi dan aeroangkasa supaya syarikat berkaitan akan mengambil bahagian dan memajukan ekosistem yang ada ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya strategi pembangunan di negeri itu memberi kesan kepada rantau lain dan mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kelestarian masa hadapan.


Pengarang :