BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

SIBS 2018 platform PKS pamer produk ke peringkat antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS) berupaya mewujudkan platform kepada perusahaan kecil, sederhana selain syarikat multinasional tempatan dan asing untuk mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, inisiatif penganjuran oleh Kerajaan Negeri itu merupakan jalan strategik untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian, dan menyediakan pendedahan serta maklumat mengenai perkembangan teknologi terkini di dunia.

Katanya, ketika ini Selangor dihormati dan menjadi pintu gerbang ASEAN dalam memainkan peranan pertumbuhan perdagangan dan perindustrian di seluruh rantau itu.

“Saya amat berbangga untuk mengatakan bahawa siri SIBS 2018 semakin teguh dari tahun ke tahun.

“Dengan sokongan dari Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) dan rakan kerjasama strategik lain, Kerajaan Negeri bersedia dan mampu menjadikan Selangor sebagai pintu gerbang yang berkesan di ASEAN.

“Visi menjadi rangkaian ASEAN yang bersatu dan tonggak ini berjaya dicapai, setakat ini, katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian SIBS 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri berhasrat menerajui peluang perniagaan dan bidang kerjasama yang berpotensi bukan sahaja untuk Selangor atau Malaysia sebagai negara, tetapi komuniti ASEAN.

“Seperti yang kita semua tahu, landskap ekonomi global sentiasa berubah,

kita semua bertanggungjawab untuk memastikan bahawa negara-negara dalam ASEAN bekerja bersama sebagai satu komuniti, menyokong satu sama lain. Inilah semangat ASEAN yang kita perlukan,” katanya.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, SIBS 2018 kali kedua dianjurkan itu
dimulakan sebagai Expo Antarabangsa Selangor 2015, yang menyaksikan nilai transaksi RM50 juta.

Bagaimanapun, katanya, ia meningkat kepada RM100 juta dan RM204.2 juta pada SIBS 2017.

SIBS 2018 menyaksikan lebih 1,000 pempamer mengambil bahagian. Jumlah itu meningkat berbanding 691 pempamer tahun lalu.

Jumlah negara yang mengambil bahagian juga meningkat menjadi 23 dari Asean, Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

SIBS 2018 itu berlangsung pada 6 hingga 16 September ini, dengan menyasarkan RM250 juta nilai transaksi.


Pengarang :