SELANGOR

Siew Ki: “Saya yakin menang. Jika tidak, saya tak bertanding”

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Calon DAP, Wong Siew Ki, dengan yakin menyatakan beliau akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, hari ini.

Siew Ki berkata, beliau tidak akan berani untuk bertanding jika mengetahui dirinya akan kalah di tangan Calon MCA, Tan Chee Teong.

“Ada yang bertanya sejauh mana keyakinan saya untuk menang. Jika saya kata menang, orang akan kata sombong, tetapi saya perlu kata yang Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menang lagi kali ini.

“Jika saya tidak berani menyatakan kemenangan, awal-awal lagi saya akan ‘cabut’.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan kepada saya,” katanya ketika membuat tinjauan proses mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11, Cheras, hari ini.

Siew Ki berkata, dia turut berpuas hati dengan kelancaran proses mengundi yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sekarang tanggungjawab hanya terserah pada pengundi sahaja. Tolonglah keluar untuk mengundi kerana ini adalah tanggungjawab pada negara,” katanya.


Pengarang :