GLOBAL

Singapura denda Grab & Uber S$13 juta kerana gabungan jejaskan persaingan

SINGAPURA, 24 SEPT: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah mengenakan penalti kewangan sebanyak S$6,419,647(S$ =RM2.99) ke atas Grab dan S$6,582,055 ke atas Uber bagi menghalang penggabungan yang menjejaskan persaingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CCCS berkata, dalam mengenakan denda tersebut, ia telah mengambil kira jumlah dagangan kedua-dua syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, faktor-faktor lain seperti sama ada Grab dan Uber memberi kerjasama.

Ini adalah sebahagian daripada Keputusan Pelanggaran CCCS terhadap Grab dan Uber berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara Uber kepada Grab untuk kepentingan 27.5 peratus dalam Grab sebagai pertukaran.

Urus niaga itu selesai pada 26 Mac 2018.

CCCS mendapati transaksi berkenaan telah membawa kepada pengurangan persaingan yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan platform e-haliling di Singapura.

Pada 27 Mac 2018, CCCS memulakan penyiasatan atas asas bahawa transaksi itu mungkin telah melanggar Akta Persaingan sebagai penggabungan anti-persaingan.

CCCS mencadangkan Arahan Langkah-Langkah Sementara pada 30 Mac 2018 dan memuktamadkannya pada 13 April 2018 untuk mengurangkan kesan transaksi tersebut kepada pemandu dan penumpang, sambil meneruskan siasatan.

Pada 5 Julai 2018, CCCS menyelesaikan siasatannya dan mengeluarkan Keputusan Pelanggaran Dicadangkan terhadap kedua-dua pihak dan mempelawa maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan penyelesaian untuk menangani kemudaratan terhadap persaingan berikutan transaksi berkenaan.

Dalam mencapai keputusan muktamadnya, CCCS berkata, ia telah mempertimbang dengan teliti representasi bertulis dan lisan daripada Grab dan Uber, maklum balas daripada pemain industri, pihak berkepentingan dan orang ramai, serta semua maklumat dan bukti yang ada.

Dalam penemuannya, antara lain, suruhanjaya itu mendapati Grab telah menaikkankan harga selepas penyingkiran pesaing terdekatnya.

CCCS berkata, ia telah memeriksa dokumen dalaman Grab serta Uber dan mendapati Uber tidak akan meninggalkan pasaran Singapura dengan hanya menamatkan perniagaannya jika transaksi itu tidak berlaku.

Sebaliknya, Uber akan meneruskan operasinya di Singapura, sambil meneroka pilihan komersial strategik lain, seperti kerjasama dengan pemain pasaran lain atau penjualan kepada pembeli alternatif, katanya.

Urus niaga itu telah menghapus pesaing terdekat Grab dalam perkhidmatan platform e-haling, iaitu Uber.

CCCS berkata, ia menerima banyak aduan daripada penumpang dan pemandu mengenai kenaikan tambang dan komisen oleh Grab selepas urus niaga seperti penurunan dalam jumlah dan kekerapan promosi penumpang dan insentif pemandu.

Sebagai contoh, Grab mengumumkan perubahan kepada Skim GrabRewards pada Julai 2018 yang secara amnya mengurangkan bilangan mata yang diperoleh penumpang bagi setiap dolar yang dibelanjakan untuk perjalanan Grab dan meningkatkan bilangan mata yang diperlukan untuk penebusan.

CCCS juga mendapati tambang telah meningkat antara 10 peratus dan 15 peratus selepas urus niaga tersebut, katanya.

Selain mengenakan denda kewangan, CCCS telah mengeluarkan arahan kepada kedua-duanya untuk mengurangkan kesan urus niaga kepada pemandu dan penumpang,dan untuk membuka pasaran secara adil untuk pemain baru.

Ini termasuk memastikan pemandu Grab bebas menggunakan mana-mana platform e-hailing dan tidak dikehendaki menggunakan Grab semata-mata; menghapuskan perjanjian eksklusif Grab dengan mana-mana kumpulan teksi di Singapura untuk meningkatkan pilihan untuk pemandu dan penumpang; dan mengekalkan algoritma harga pra-penggabungan Grab dan kadar komisen pemandu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :