EKONOMISELANGOR

Smart Selangor model pembangunan masa hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Gagasan Smart Selangor diyakini mampu direalisasikan, sekali gus menjadi model pembangunan masa hadapan dengan menggalakkan penyelidikan inovatif serta keusahawanan teknologi, di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Raja Shahreen Raja Othman berkata, Selangor juga mampu menjadi pelopor dalam era globalisasi ke-21 dengan kerjasama semua pihak termasuk pendidik, komuniti perniagaan dan kerajaan,

Katanya, agenda gagasan yang mula dibangunkan dengan visi jelas, pada 2015 sudah mencipta beberapa kejayaan.

“Kerajaan Negeri bersedia merealisasikan gagasan yang dinamik, pelbagai budaya dan penyayang serta mencipta teknologi pintar menjelang 2025. MBI Selangor ditugaskan untuk menerajui revolusi ini, melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Sejak penubuhannya, beberapa program dan aktiviti berjaya dilaksanakan dan kami kini bergerak dari satu tapak ke tapak yang lain bagi mencapai wawasan Smart Selangor 2025.

“Smart Selangor bukan retorik semata-mata kerana Kerajaan Negeri mahu mewujudkan inisiatif ini dengan berkesan demi kepentingan ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Raja Shareen berkata, Kerajaan Negeri yakin kefahaman rakyat menjadi asas utama dan agenda yang mampu menghubungkan rakyat, negara dan industri dalam pelaksanaannya.

Katanya, dengan pelancaran Smart Selangor Blueprint, pada 2016 dan inisiatif seperti ‘Intelligent Response System’, ‘Smart Selangor Waste Management’ dan ‘Selangor Intelligent Transport System’, Selangor berjaya membina asas kukuh ke arah kemajuan itu.

“Walaubagaimanapun, kemajuan sebenar memerlukan negeri dan rakyatnya menyesuaikan diri dengan perubahan dunia global kini ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

“Selangor juga tidak bersendirian dalam misi ini. Inisiatif Smart City juga diikuti di Malaysia termasuk Cyberview, yang ditugaskan menerajui pembangunan di Cyberjaya iaitu salah satu cybercities pertama di Malaysia.

“Begitu juga ‘Smart Penang’ seperti dinyatakanKetua Menterinya, Chow Kuan Yew menerusi rancangan Penang 2030 iaitu ‘family-focused, green and smart state’ dan Down South, Smart City Iskandar Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri kini sedang membangunkan ‘Selangor Maritime Gateway’ di Sungai Klang yang akan bertindak sebagai ‘Centre Economic Region’.


Pengarang :