SELANGOR

SPR akan buat ‘Post-Mortem’ punca peratusan mengundi rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 9 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tindakan menyemak semula untuk mengetahui punca penurunan jumlah pengundi bagi kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) terbabit.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya akan menjalankan ‘post-mortem’ dalam masa terdekat untuk mencari punca kepada perkara itu.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru sahaja berlangsung, menjadi punca orang ramai kurang berminat untuk keluar mengundi kali ini.

“Ada kemungkinan faktor PRU-14 yang baru saja berlangsung empat bulan lalu, salah satu sebab pengundi tidak keluar mengundi.

“Penurunan pengundi juga mungkin kerana mereka beranggapan apa juga keputusan daripada kedua-dua PRK ini tidak mengubah senario politik semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, di Dewan Sivik MBPJ, di sini, malam tadi.

Terdahulu, jumlah peratusan keluar mengundi di DUN Seri Setia mencatatkan 44 peratus selepas kesemua 16 pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang tadi.

Peratusan itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya.

Suruhanjaya itu sebelum ini mensasarkan lebih 70 peratus orang akan keluar mengundi di kawasan itu.


Pengarang :