NASIONAL

SPR: Anwar layak bertanding berteraskan pengampunan Agong

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 29 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim layak menjadi calon dan bertanding berteraskan pengampunannya sebelum ini.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, Ketua Umum KEADILAN itu diterima pengampunannya oleh Yang Dipertua Agong sebelum ini.

“Tiada masalah PAS bantah Anwar. Beliau layak bertanding kerana berteraskan pengampunan oleh Agong sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson selesai.

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan keputusan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson dijangka akan diumumkan sebelum jam 10 malam.

“SPR meneruskan penambahbaikan antaranya menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas.

“Selain itu, memangkangkan tempoh masa pengundian dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang berbanding jam 5.00 petang sebelum ini.

“Menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai,” katanya.

Terdahulu, bagi PRK P.132 Port Dickson ini sebanyak 26 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya adalah 171 saluran berbanding 145 saluran pada PRU-14.

Penambahan petak undi di dalam tempat mengundi (saluran) kepada tiga petak undi. Di mana amalan sebelumnya adalah dua petak undi sahaja.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga Suku Kedua Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September 2018.

Daftar Pemilih itu mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih Awal dan 16 orang Pemilih Tidak Hadir Luar Negara.

 


Pengarang :