SELANGOR

SSDU hargai PBT jaya inisiatif Smart Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEPT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menghargai kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memainkan peranan penting menjayakan inisiatif Smart Selangor.

Pengarah Projek dan Pembagunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi berkata, jalinan kerjasama antara kedua pihak banyak menbantu ke arah pelaksanaan inisiatif itu  melalui pendekatan ‘co-creation’.

“Sejak ditubuhkan pada April 2016, SSDU bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan di Selangor terutama PBT bagi mengenal pasti permasalahan rakyat, merancang penyelesaian terbaik dan seterusnya melaksana inisiatif yang mampu menambah baik kualiti kehidupan sejagat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu sesi penghargaan kepada PBT di ruang pameran Smart Selangor bersempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018 diadakan, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur disampaikan Timbalan Pengarah (Seksyen PBT), Ahmad Zaki Yusof dan Penasihat Smart Selangor, John Davies.

Katanya, pengahrgaan untuk pelaksanaan Smart Selangor Delivery Platform (SSDP) diberikan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam.

“SSDU juga menganugerahkan Majlis Daerah Hulu Selangor atas iltizam dan kerjasama menjayakan agenda Cashless Society, salah satu daripada inisiatif pintar Smart Selangor manakala Majlis Perbandaran Klang menerima penghargaan untuk pelaksanaan inisiatif Smart Pasar.

“Di samping itu, enam pegawai masing-masing daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, MPK, MPKj dan MPAJ diberi penghargaan atas kerjasama serta dedikasi untuk pelaksanaan inisiatif pelaporan jalan berlubang menerusi aplikasi Intelligent Response Selangor (i-RS),” katanya.

Pada masa sama, Mazlan turut berharap penghargaan itu dapat menyemarakkan lagi pembabitan PBT dalam usaha merelalisasikan inisatif berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat terutama bagi menjadikan Selangor sebagai “Smart State” di ASEAN, pada 2025.


Pengarang :