EKONOMINASIONAL

SST: Harga barangan masih kekal

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Hari pertama pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hari ini menyaksikan kebanyakan barangan terutama barangan keperluan tidak mengalami peningkatan.

Masih terlalu awal untuk memperkatakan kesan SST terhadap harga barangan kerana peniaga masih menjual barangan stok lama yang tidak dikenakan cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan sejak tiga bulan lalu, sekaligus pelaksanaannya masih belum memberi impak kepada pengguna setakat ini.

Bagi pengguna mereka mengharapkan agar situasi ini berkekalan kerana SST seharusnya memberi kesan minimum kepada pengguna sambil menggesa pihak berkuasa memantau peniaga.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di sebuah kedai makan nasi kandar terkenal di Jitra mendapati tiada kenaikkan harga yang berlaku dan harga makanan dan minuman di premis itu masih kekal sama.

Seorang pekerja kedai makan tersebut berkata sebarang kenaikan harga makanan dan minuman akan dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu.

“Buat masa ini semua harga masih pada harga lama kerana bekalan bahan mentah kami beli dengan harga borong sebelum pelaksanaan SST ini. Jika ada kenaikan, kami akan maklumkan kepada pelanggan yang datang ke kedai,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Jitra juga mendapati para peniaga tidak menaikkan harga barangan bahan mentah.

Berkuatkuasa hari ini, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus setelah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

Di PAHANG, situasi sama berlaku apabila tinjauan di sebuah kedai makan di Kuantan, mendapati harga makanan dan minuman yang dijual masih sama seperti semalam, dan rata-rata pelanggan berharap perkara itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Bagi pekerja swasta Mahidi Ahmad, 49, harga barangan di sebuah kedai runcit di Kuantan masih sama semasa membeli barangan keperluan hari ini.

” Sebenarnya saya bimbang juga jika ada perbezaan harga jika ke pasaraya pada hujung bulan ini untuk membeli barangan dapur selepas gaji… bimbang ada peningkatan ketara dalam jumlah semua pembelian kerana lazimnya beli dalam kuantiti kecil ini tidak begitu terasa,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, tiada perubahan harga direkodkan bagi harga biskut berdasarkan perbandingan yang dibuat semalam dan hari ini.

Berdasarkan tinjauan di sebuah pasaraya semalam telah merekodkan pembelian sebungkus biskut jenama Hup Seng pada harga RM3.95 dan hari ini harganya masih kekal sama.

Seorang pengguna, Dewi Jidin, 58, berkata harga yang ditawarkan masih masih sama walaupun pelaksanaan SST telah dilaksanakan hari ini.

“Harga masih lagi stabil kerana sebelum ini saya membeli beras dengan yang sama RM13.90 bagi lima kilogram beras, pelaksanaan SST ini masih baru lagi, jadi tidak nampak kenaikan harga di situ,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :