NASIONAL

SST: MOA arah FAMA pantau harga barang makanan

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuat pemantauan harga barang makanan di seluruh negara bermula hari ini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata usaha tersebut dilakukan untuk memantau sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mulai hari ini semua pegawai FAMA telah turun padang untuk memantau harga barangan di pasar bukan sahaja di pasar FAMA tetapi juga di pasar biasa untuk kita pantau daripada pelbagai aspek sekiranya ada peniaga yang sewenangnya menaikkan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Jerejak, di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan tersebut akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan dan sekiranya didapati kenaikan harga yang tidak munasabah FAMA akan melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Katanya pengguna perlu mengetahui kadar SST yang dikenakan terhadap barang yang dibeli kerana tidak semua barangan yang dikenakan cukai berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dicaj kepada semua barangan.

Sementara itu, Sim yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru berkata pihaknya sedang mengkaji satu teknologi sektor perikanan baharu, ‘Deep Sea Cage Culture’, untuk diaplikasikan di Malaysia bagi meningkatkan mutu industri perikanan sekali gus menjana sumber kekayaan negara.

“Saya difahamkan duta besar China telah memberitahu bahawa mereka sebenarnya ada teknologi baharu dan mereka sanggup kongsi dengan Malaysia. Saya nampak ini sebagai sumber kekayaan baharu untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata biarpun negara China mempunyai populasi penduduk yang tinggi, namun kadar pencapaian tahap sara diri mereka juga tinggi berikutan penggunaaan teknologi dalam industri dan kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Sim mencadangkan para nelayan untuk turut serta dalam usaha penternakan ikan meskipun ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk terus menjadi nelayan.

Beliau berkata adalah penting untuk para nelayan bersama-sama mengusahakan sangkar ikan kerana sumber laut kini semakin berkurangan.

“Saya mohon kalau boleh nelayan-nelayan juga tubuhkan sebuah koperasi dan turut serta buat sangkar ikan. Saya tahu mereka macam tidak suka untuk jadi penternak tetapi demi (pendapatan) keluarga mereka, kita kena ‘move forward’…rugi kalau mereka tak masuk,” katanya.

Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar dalam industri perikanan di Malaysia iaitu sebanyak RM1.6 bilion daripada jumlah keseluruhan RM2.9 bilion pada tahun 2017 hasil usaha 4,987 orang nelayan berdaftar serta 511 orang penternak ikan sangkar di seluruh negeri.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :