AGAMASELANGOR

‘Street Dakwah’ Pulau Ketam kikis persepsi terhadap Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 30 SEPT: Pendekatan kreatif melalui ‘Street Dakwah’ yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mendapat tempat dan mudah diterima masyarakat Pulau Ketam, di sini, khususnya kaum Cina.

Naib Pengerusi ll PERKIM Selangor, Hushim Salleh berkata, misi dibawa pihaknya bersama JAIS untuk turun padang dalam menyampaikan dakwah itu sekali gus dapat mengikis persepsi negatif terhadap salah faham Islam di kawasan terbabit.

Katanya, ia adalah perubahan positif terhadap transformasi dakwah di negara ini, khasnya di Selangor bagi memberi pencerahan secara mendalam mengenai agama Islam.

“Kami berasa sangat teruja kerana dapat melaksanakan ‘Street Dakwah’ di luar kawasan dengan mengunjungi komuniti Pulau Ketam yang majoritinya adalah kaum Cina.

“Malah, sambutan julung kali ini begitu menggalakkan melalui penyertaan luar biasa masyarakat Cina yang menyambut baik dan mengalukan kedatangan kami ke sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Program Dakwah JAIS Pulau Ketam, di sini, semalam.

Hushim berkata, umat Islam mempunyai tanggungjawab penting bagi memperjelaskan salah faham mengenai Islam dan menyampaikan mesej Islam tidak menyokong keganasan.

Justeru katanya, matlamat utama program terbabit adalah untuk membawa budaya akhlak dan watak yang baik kepada masyarakat Cina Pulau Ketam.

“Kita membuat pendekatan lebih mesra supaya mereka positif terhadap aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini dan menerima kita dengan sebaiknya.

“Islam juga menyantuni masyarakat Cina, jadi keindahan Islam itu perlu disebarkan kepada mereka dengan tujuan menyedarkan Islam adalah untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kita juga mahu memberitahu kepada masyarakat di sini bahawa budaya dan ajaran Islam itu boleh dianuti semua orang tanpa ragu-ragu,” katanya.

Sepanjang dua hari berkampung sepanjang program berkenaan, pelbagai aktiviti diaturkan bersama penduduk tempatan termasuk sukaneka, pemeriksaan kesihatan percuma, persembahan nasyid dan qasidah.

Program turut diisi dengan sesi ramah mesra menerusi Kaunter hijab, Perkongsian tentang Islam (One-to-One), Halal Corner (Perkenalkan Makanan dan Masakan Halal), Kaunter Risalah dan Buku Ilmiah serta Lawatan Akademi Tahfiz Mandarin.


Pengarang :