EKONOMISELANGOR

Sultan bangga Selangor kekal penyumbang KDNK terbesar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bangga atas kejayaan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar di negara ini, pada kadar 23 peratus tahun lalu.

Dengan peningkatan KDNK ini, baginda percaya Selangor akan menjadi tumpuan utama pelabur domestik dan asing untuk terus melabur di negeri termaju itu.

“Beta berasa bangga Selangor adalah penyumbang KDNK terbesar kepada KDNK Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 23 peratus.

“Dua sektor utama menggerakkan pembangunan ekonomi ialah perkhimatan swasta dan pembuatan yang menyumbang sebanyak 83.9 peratus kepada keseluruhan KDNK diikuti sektor pembinaan, perkhidmatan kerajaan, pertanian, perlombongan dan kuari,” titahnya dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas 2018 di sini, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, pertumbuhan ekonomi negeri dilihat terus kukuh pada kadar 7.1 peratus pada tahun lalu berbanding 4.8 peratus pada 2016.

“Ia juga merekodkan prestasi melebihi paras nasional iaitu pada kadar 5.9 peratus,” titahnya.


Pengarang :