SELANGOR

Sultan berkenan cadangan 18 tahun had umur perkahwinan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minima perkahwinan pasangan Islam lelaki dan perempuan dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun.

Baginda memandang serius kes perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda khasnya membabitkan kanak-kanak perempuan.

“Beta memandang serius kes-kes seperti ini kerana beta bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Titah baginda, MAIS dan JAIS telah pun menyembah maklumkan kepada baginda berkenaan cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya pindaan terhadap beberapa peruntukan lain bagi menambahbaik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah.

Titah baginda, antaranya meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan.

“Beta berharap agar kedua-dua cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini,” titah baginda lagi.


Pengarang :