BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor: Tahniah Kerajaan Negeri dipilih rakyat semula

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Kerajaan Negeri yang dipilih semula rakyat membentuk pentadibran negeri selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Baginda bertitah, dengan itu juga diharap Kerajaan Negeri akan dapat menjalin kerjasama yang baik dengan kepimpinan negara di peringkat Persekutuan.

“Alhamdulillah Malaysia dan Selangor yang kita kasihi ini berjaya melalui satu proses demokrasi melalui pilihan raya untuk memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan dalam suasana aman, makmur dan harmoni.

“Beta berkenan suasana aman, makmur dan harmoni ini terus dipertahankan dengan mengekalkan perpaduan yang terjalin di antara kaum di negeri ini,” titahnya dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas 2018 di sini, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, persidangan DNS kali ini melakar satu sejarah baharu kerana menyaksikan bilangan besar Ahli Dewan Negeri (ADN) baharu dan berharap semua mereka terus menjalankan amanah serta kepercayaan rakyat.

Titahnya, semua wakil rakyat perlu bekerjasama dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari.

“Beta berkenan agar Ahli Yang Berhormat di dewan ini dapat membahaskan persoalan dasar dan membangunkan program memberi impak kepada Selangor.

“Perbahasan juga sementinya tidak bercanggah dengan Peraturan-peraturan Tetap DNS dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor serta sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beta menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi Selangor yang mana ia termasuk sistem integriti juga akuntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan negeri. Ianya hendaklah terus diamalkan,” titahnya.


Pengarang :