SELANGOR

Sultan Sharafuddin bangga Selangor tidak kompromi isu alam sekitar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga dengan Kerajaan Negeri yang tidak berkrompromi terhadap isu alam sekitar.

Baginda bertitah, alam sekitar sering diketepikan semata-mata bagi memberi laluan kepada pembangunan yang dirancang.

“Atas alasan untuk membangunkan sesuatu kawasan, alam sekitar diceroboh dengan rakus sehingga menyebabkan kejadian meragut nyawa seperti tanah runtuh, banjir mahupun kebakaran hutan.

“Namun begitu, beta berbangga dengan ketegasan Kerajaan Negeri yang tidak berkompromi dengan isu alam sekitar ini,” titahnya pada Istiadat Perasmian Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Titah baginda, Kerajaan Negeri juga mengadakan program Tanam Pokok Bakau di Bagan Lalang, Sepang bagi menyokong usaha memelihara alam sekitar.

Baginda juga berharap lebih banyak syarikat korporat atau badan bukan kerajaan sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam program menanam pokok.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan syarikat AEON untuk menanam pokok di Tanjung Beluntas, Kampung Bukit Belimbing bagi tujuan pemuliharaan kelip-kelip.

“Antara pokok yang ditanam termasuk Sagu dan Nipah yang disertai 100 pelajar dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea dan Vietnam.

“Beta berterima kasih atas kesudian AEON menaja anak pokok dan berharap program seperti ini akan dapat diteruskan, pada masa akan datang,” titahnya.


Pengarang :