SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Suri rumah main peranan penting, tak perlu rendah diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 30 SEPT: Suri rumah yang bekerja di rumah seperti pengasuh tidak perlu merendah diri kerana golongan itu memberi sumbangan yang besar untuk membina keluarga, masyarakat dan negara.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, golongan suri rumah juga layak mendapat pengiktirafan kerajaan dengan menyediakan pelbagai insentif untuk mereka.

“Penghargaan kepada puan-puan yang menjaga anak-anak selama ini tidak diberikan pengiktirafan mana-mana pihak sedangkan kita semua tahu suri rumah adalah tenaga pembangunan negara yang sangat besar.

“Antaranya pendapatan mereka tidak termasuk dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau produktiviti negara dan sebab itu kami pimpinan wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) memang memikirkan bagaimana cara menghargai peranan besar mereka mendidik anak sendiri dan anak wanita lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program Kursus Instensif perkembangan kanak-kanak (KIPK) di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, menyedari hal ini, Kerajaan Persekutuan dan Negeri berusaha mengiktirafan kepada golongan suri rumah dengan mengadakan pelbagai inisiatif kepada golongan itu.

Katanya, antara inisiatif terbabit dengan melancarkan skim i-Suri di mana merupakan peringkat pertama untuk kerajaan menyediakan jaringan keselamatan kepada wanita yang bekerja di rumah.

Katanya lagi, selain i-Suri, Kerajaan Negeri pula menyediakan insentif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kursus Instensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

KIPK merupakan program melahirkan suri rumah yang bekerja sebagai pengasuh terlatih di rumah masing-masing dengan lebih selamat dan teratur.


Pengarang :