SELANGOR

Suspek pembunuh kucing direman lebih lama

GOMBAK 17 SEPT: Reman terhadap dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seekor kucing yang dimasukkan ke mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Gombak disambung selama tiga hari lagi bermula esok

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kedua-dua suspek dibenarkan disambung reman oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Khamis lepas, polis mendedahkan gambar tiga suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

 

Dua suspek berusia 26 dan 40 tahun ditahan Jumaat lalu di dua lokasi di Gombak manakala seorang lagi masih bebas dan diburu pihak polis

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup memaparkan tindakan kejam dua individu yang membunuh seekor kucing bunting dengan cara memasukkannya ke mesin mengering pakaian di sebuah pusat dobi layan diri di Taman Gombak Ria.

Perbuatan kejam tersebut seterusnya tersebar di laman media sosial dan menerima kecaman daripada masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan kepada pihak polis.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :