NASIONAL

Syarikat perladangan diramal pulih separuh kedua 2018

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Syarikat perladangan Malaysia dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini berikutan jangkaan penganalisis bahawa pengeluaran dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Penganalisis perladangan di MIDF Research, Alan Lim, menjangka pendapatan syarikat perladangan tempatan mengukuh dalam tempoh itu, selepas mengambil kira arah aliran harga MSM baru-baru ini.

Katanya, harga MSM kini sudah pun mencecah paras lantai selain musim pengeluaran yang lebih tinggi.

“Harga MSM mencecah paras lantai sungguhpun paras stok tinggi dan pengeluaran lebih tinggi disebabkan harga kukuh minyak mentah Brent yang membolehkan industri biodiesel menyerap pengeluaran tambahan,” katanya lapor Berita Harian.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Perladangan di RHB, Hoe Lee Leng, pula berkata tinjauan syarikat perladangan tempatan dijangka lebih baik dari segi pengeluaran dalam suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Diharapkan tinjauan akan lebih baik dengan pengeluaran lebih tinggi, juga harga yang lebih baik pada suku keempat,” katanya.

Pada suku kedua, MIDF Research berkata, terdapat tujuh syarikat yang mencatat prestasi hambar dan hanya satu mencatat prestasi lebih baik.

Jumlah tandan buah segar (FFB) IOI Corp Bhd, Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IJM Plantation Bhd lebih rendah daripada jangkaan.

Segmen bukan perladangan memberi kesan kepada pendapatan kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (sumbangan negatif daripada operasi pemprosesan dan perdagangan) dan Genting Plantations Bhd (marjin segmen hartanah lebih rendah daripada jangkaan).

Sementara itu, TSH Resources Bhd pula terkesan daripada kos yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Sebaliknya, Sime Plantation Bhd mencatat pendapatan lebih baik disebabkan kawalan kos yang lebih baik daripada jangkaan.

Hong Leong Investment Bank berkata, beberapa syarikat perladangan, khususnya Hap Seng Plantations Holdings Bhd, IJM Plantation dan TSH juga terkesan selepas mengguna pakai piawai perakaunan baharu (MFRS 141 and 116) sejak awal 2018.

-Berita Harian


Pengarang :