SELANGOR

Tambah baik Jalan Meru-Klang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri diminta memantau keadaan jalan raya di kawasan Meru yang dilaporkan berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, kebanyakan jalan di Meru menghala ke kawasan Klang didapati berlubang dan membahayakan penduduk setempat.

“Situasi ini turut berlaku di Jalang Klang menuju ke Kapar, lebih membahayakan apabila lori besar turut menggunakan jalan sama yang tidak bersesuaian kerana membahayakan orang awam, terutama penduduk kampung berdekatan.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri termasuk pihak bertanggungjawab mengambil perhatian terhadap isu ini,” katanya ketika sesi perbahasan pada hari kedua Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini.

Pada sesi perbahasan petang itu, Mohd Fakhrulrazi turut menggesa Pejabat Daerah dan Tanah menarik kembali permit lori hantu yang menggunakan jalan awam sehingga meresahkan pengguna jalan raya, di Meru.

Katanya, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan, namun lori hantu yang membawa muatan tanah terbabit diberi permit oleh pejabat tanah.

“Kita perlu mengenal pasti punca sebenar supaya ia dapat meningkatkan kualiti pentadbiran Kerajaan Negeri, sekali gus mewujudkan masyarakat yang lebih terbela dan harmoni,” katanya.

Pada masa sama, ADN Meru turut menggesa perkhidmatan jalur lebar Wifi Smart Selangor ditambahbaik di kawasan berkenaan.

“Ini kerana perkhidmatan Wifi masih lagi lemah di beberapa lokasi dalam Meru, justeru saya berharap usul dikemukakan ini dapat merealisasikan Selangor ke arah Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.


Pengarang :