SELANGOR

Tan Sri Abu Hassan meninggal dunia

SHAH ALAM 8 SEPT: Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar meninggal dunia, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di twitternya memaklumkan pemergian Abu Hassan yang juga merupakan Menteri Besar Selangor ke-12.

“Saya telah menerima berita dukacita Tan Sri Abu Hassan Omar, mantan Menteri Besar Selangor ke 12 telah meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Al Fatihah,” tulis Amirudin di twitternya.

Sementera itu BERNAMA melaporkan perkara itu disahkan oleh Pegawai Khasnya Datuk Mohamad Isa Ishak ketika dihubungi.

“Ya, Tan Sri sudah meninggal dunia akibat serangan jantung pada pukul 8.05 malam tadi, jenazah masih lagi di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Kota Kemuning sebentar lagi,” katanya.

Katanya beliau diberitahu, Abu Hassan pada petang tadi mengadu sesak nafas dan sakit dibahagian dada dan kemudian telah dibawa ke sebuah hospital swasta di sini oleh menantunya untuk menerima rawatan.

“Tetapi pada pukul 8.05 malam tadi doktor yang merawatnya telah memberitahu beliau telah meninggal dunia,” katanya.

Abu Hassan merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-12 dan memimpin negeri ini pada tahun 1997 sehingga 2000 dan juga merupakan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Anak ketiganya Mohd Hasri meninggal dunia pada 2014 akibat serangan jantung di rumahnya.


Pengarang :