BERITA UTAMASELANGOR

Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang Tokoh Maal Hijrah 1440H Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor.

Beliau yang kini berusia 69 tahun dipilih berdasarkan jasa bakti dan sumbangannya dalam menyebarkan Islam serta membangunkan ummah di negeri itu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perindustrian di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian itu menerima wang tunai RM20,000 sumbangan Kerajaan Negeri, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Ketika ditemui, Ambrin menzahirkan rasa syukur kerana dipilih menerima anugerah berkenaan dan bertekad terus memberi sumbangan kepada masyarakat, khususnya di Selangor.

Katanya, kejayaan itu membakar semangat beliau untuk terus melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi merapatkan jalinan ukhwah bersama, serta memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dipilih menerima anugerah ini. Meskipun usia sudah lanjut, namun itu tidak membataskan saya untuk menjalankan tanggungjawab berbakti kepada masyarakat.

“Baki umur yang ada ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin dengan memperkayakan ibadah kepada Allah SWT,” katanya kepada pemberita.

Anugerah berkenaan disampaikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor, yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Tengku Laksamana turut berkenan menyampaikan Anugerah Badan Dakwah Sukarela kepada Aman Palestin, Anugerah Saudara Baru kepada Danial Hakim Boey Abdullah, Anugerah Aktivis Masyarakat kepada Abdul Aziz Abu Bakar dan Anugerah Keluarga Mithali kepada pasangan Mohd Salleh Ashaari serta Ruslawati Mat Isa.

Selain itu, Tengku Laksamana juga berkenan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1440 Hijrah/2018 Masihi, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Anugerah Tokoh Maal Hijrah merupakan anugerah tahunan kepada individu yang banyak menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dalam pembabitan pelbagai aktiviti seperti sosial, ekonomi juga pendidikan yang memberi kesan kepada gerakan dan perkembangan Islam.


Pengarang :