NASIONAL

Tanggungjawab ahli menangkan PAKATAN di Port Dickson

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 14 SEPT: Semua anggota KEADILAN perlu mamainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Pemilihan KEADILAN 2018, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-8.

“Hal ini tiada siapa boleh persoalkan cuma kaedah boleh diperkemaskan, pada masa hadapan.

“Sudah berulang kali saya cakap, ia adalah tanggungjawab ahli parti untuk memenangkan parti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, di sini, hari ini.

Apabila ditanya berkenaan keputusan Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar sebelum perbincangan diadakan, Amirudin berkata, itu isu boleh dijadikan pedoman, pada masa hadapan.

“Pandangan semua pihak wajar didengar kerana Port Dickson bukan kawasan yang begitu selamat untuk ditandingi PAKATAN berdasarkan rekod lalu,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Sementara itu, ketika ditanya cadangan Calon Naib Presiden, Shamsul Iskandar Md Akin supaya Pemilihan KEADILAN 2018 ditangguhkan, Amiruddin berkata, perkara terbabit ditentukan barisan kepimpinan tertinggi parti dan Biro Politik bagi membuat keputusan terbaik.


Pengarang :