GLOBAL

Taufan Florence sebabkan 8 maut, jumlah hujan dianggap ‘epik’

WILSON 16 SEPT: Ribut Tropika Florence menyebabkan jumlah hujan yang dianggap ‘epik’ turun di Carolina Utara dan Carolina Selatan semalam, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.

Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala paras banjir semakin meningkat.

Kepadatan Florence semakin menyusut sejak ia membadai pantai sepanjang pertengahan Atlantik Amerika Syarikat kelmarin ketika masih dengan kekuatan taufan.

Namun ia semakin perlahan di kedua-dua negeri, menuju ke barat dengan kelajuan tiga kilometer sejam, dijangka menyebabkan sebahagian besar kawasan di wilayah itu ditenggelami air beberapa hari lagi.

“Ia menurunkan jumlah hujan epik, di beberapa tempat diukur dengan meter, bukan sentimeter,” kata Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper, kepada taklimat akhbar.

Negeri itu sudah pun mencatatkan rekod penurunan hujan, dengan banyak lagi diramalkan turun.

Paras sungai berterusan naik beberapa hari selepas hujan berhenti, katanya.

“Ini adalah taufan disusuli dengan banjir,” kata Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster.

Dengan paras banjir meningkat mendadak di kebanyakan komuniti, penduduk yang terperangkap diselamatkan dengan bot dan helikopter, manakala puluhan ribu berlindung di pusat perlindungan.

Banyak jalan raya ditutup, dan pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko tanah runtuh, puting beliung dan banjir kilat, dengan empangan dan jambatan dalam bahaya apabila paras sungai terus meningkat.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :