GLOBAL

Taufan Mangkhut: Rakyat Malaysia dinasihat elak kawasan terjejas

PUTRAJAYA 16 SEPT: Tiada rakyat Malaysia cedera akibat taufan super Mangkhut yang melanda beberapa kawasan di Filipina semalam dan hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan media memaklumkan kawasan yang terkesan akibat taufan itu adalah di bahagian Utara Luzon, Filipina dan usaha mencari serta menyelamat termasuk bantuan kemanusiaan sedang giat dijalankan kerajaan Filipina.

 

“Warganegara Malaysia dinasihatkan menghindari kawasan yang terjejas. Mereka yang sedang melawat atau menetap di kawasan itu diminta supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya, hari ini.

Kementerian Luar berkata, rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila atau Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila bersama-sama dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao akan terus memantau perkembangan terkini di Filipina.

“Kedutaan Besar Malaysia juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini,” katanya.

Taufan super Mangkhut yang melanda utara Filipina sejak semalam sehingga kini mengorbankan 25 nyawa.

Mangkhut tiba di Filipina dengan membawa angin kuat dan hujan di seluruh kepulauan utama Filipina, Luzon, yang mempunyai 105 juta penduduk.

Dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Ompong’, taufan Mangkhut mencapai kelajuan angin tertinggi pada 305 kilometer sejam (km/j), sebelum keluar dari kawasan darat, sebelum tengah hari dan kemudian menuju ke selatan China serta Vietnam.


Pengarang :