GLOBAL

Taufan Mangkhut: Selepas musnahkan ribuan rumah di Filipina, kini tuju Hong Kong

TUGUEGARAO, Filipina 16 SEPT: Taufan Super Mangkhut yang merupakan ribut terbesar tahun ini membadai Filipina semalam menyebabkan empat menjadi korban pertama, manakala seorang mati lemas di Taiwan.

Mangkhut melanda bahagian utara Pulau Luzon sepanjang malam tadi dengan menerbangkan bumbung rumah dan me­numbangkan pokok-pokok sekali gus memusnahkan sebahagian kediaman 10 juta penduduk.

Selepas ribut kuat tersebut meninggalkan kepulauan Asia Tenggara dan menuju ke kawasan populasi tinggi di Hong Kong dan selatan China, pasukan mencari dan penyelamat Filipina mula melakukan tinjauan di wilayah yang menerima kesan langsung.

“Kami percaya ia menyebabkan kerosakan yang teruk,” kata Setiausaha Kebajikan Sosial, Virginia Orogo selepas ribuan penduduk dipindahkan untuk berlindung di pusat perlindungan kecemasan.

Mangkhut membawa angin ribut dengan kelajuan maksimum sehingga 260 kilometer sejam ketika meninggalkan Filipina.

Taufan tersebut menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri daripada kediaman masing-masing terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi kerana bimbang banjir besar dan tanah runtuh.

Di Taiwan, seorang wanita dilaporkan di­hanyutkan ombak besar yang disebabkan oleh taufan tersebut, kata pihak berkuasa.

“Antara taufan yang melanda tahun ini, ia (Mang­khut) adalah yang pa­ling kuat. Ini merupakan kekejaman taufan dengan membawa angin paling kencang,” kata ahli kaji cuaca daripada Agensi Meteorologi Jepun, Hiroshi Ishihara kepada AFP kelmarin.

Selepas membadai Fili­pina, Mangkhut dijangka akan melanda kawasan berkepadatan tinggi di pesisir pantai selatan China minggu ini.

SUMBER: AFP


Pengarang :