NASIONAL

Taufan Mangkhut: Tiada rakyat Malaysia dilapor cedera

PUTRAJAYA 17 SEPT: Sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam taufan Mangkhut yang berlaku di beberapa wilayah China seperti Hong Kong, Macau dan Guangdong semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dan Guangzhou sentiasa memantau perkembangan semasa bencana alam itu.

Kata kenyataan itu lagi, pihak Konsulat Jeneral Malaysia berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini untuk membantu rakyat Malaysia yang berada di wilayah terlibat.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia adalah dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan yang tidak penting ke kawasan-kawasan terjejas.

“Manakala mereka yang sedang melawat atau menetap di lokasi terjejas dinasihatkan untuk berada di dalam bangunan dan sentiasa peka terhadap laporan perkembangan cuaca serta arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra lagi, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia terdekat sama ada di Hong Kong atau Guangzhou.

Mereka boleh menghubungi alamat pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong iaitu di 24/F Malaysia Building, 47-50 Gloucester Road, Wanchai atau boleh menghubungi nombor telefon, +852 2821 0800, +852 6900 6390, +852 6330 3900 atau emel, [email protected].

Untuk pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou pula, alamatnya seperti Unit 1912 – 1918, CITIC Plaza Office Tower, 233, Tian He Bei Road dan nombor telefon,+8618826424851 dan +8618802031746 atau emel, [email protected].

 


Pengarang :