GLOBAL

Tenggara AS banjir besar, ragut 13 nyawa di Carolina

NEW BERN, Amerika Syarikat 17 SEPT: Penduduk yang terjejas sehingga kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Florence masih belum boleh menarik nafas lega biarpun ribut tersebut sudah reda.

Hal ini kerana, Florence mencetuskan hujan lebat luar biasa di bahagian tenggara Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyebabkan banjir besar yang meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa setakat ini.

 

Menurut pihak berkuasa, lapan daripada 13 kes kematian berlaku di North Carolina termasuk tiga terkorban dalam banjir kilat dan dihanyutkan arus kuat, manakala selebihnya maut di South Carolina.

Florence melanda Wrightsville Beach, North Carolina pada Jumaat lalu dan dikategorikan sebagai taufan ketagori 1, namun membawa angin kencang menyaksikan banyak pokok dan tiang elektrik tumbang sehingga memaksa 20,000 penduduk berpindah dari kediaman ma­sing-masing.

Semalam, terdapat beberapa penduduk cuba pulang ke kediaman mereka dengan memandu atas jalan yang dinaiki air dan serpihan pokok tumbang.

Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak dipersetujui Gabenor North Carolina, Roy Cooper yang menegaskan bahawa keadaan jalan raya kini tidak selamat dan berbahaya.

“Jalan-jalan di seluruh negeri kini dinaiki air dengan paras sungai semakin meningkat dan hujan juga belum reda,” katanya.

Beliau sebelum itu menyifatkan jumlah hujan yang turun ketika ini sebagai satu fenomena luar biasa apabila ada sesetengah kawasan yang hujannya diukur dalam meter dan bukannya inci seperti kebiasaan.

Dalam pada itu di New Bern iaitu bandar yang terletak berhampiran kawasan laut di North Carolina, banjir mulai surut dan banyak kemusnahan berlaku melibatkan kediaman dan premis perniagaan.

Pasukan penyelamat juga ber­tungkus-lumus mencari ser­ta menyelamat mangsa yang ter­perangkap akibat banjir.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :