GLOBAL

Tentera China dikenakan sekatan AS

WASHINGTON 22 SEPT Amerika Syarikat (AS) meluaskan perang sekatan ke atas Rusia dengan melibatkan China kelmarin apabila Washington mengumumkan langkah untuk menghukum organisasi ketenteraan China kerana membeli jet tempur dan peluru berpandu buatan Rusia.

Jabatan Negara AS yang meningkatkan tekanan ke atas Moscow kerana didakwa melakukan ‘aktiviti jahat’ menyatakan, pihaknya mengenakan sekatan kewangan ke atas Jabatan Pembangunan Peralatan (EDD) dan pengarahnya berhubung pembelian terkini sejumlah jet pejuang Sukhoi Su-35 dan misil S-400 Rusia oleh tentera China.

 

EDD diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan China.

Beberapa pegawai AS berkata, ini kali pertama sebuah negara ketiga menerima hukuman di bawah undang-undang sekatan itu yang dikenali sebagai Menangani Musuh Amerika Melalui Akta Sekatan (CAATSA) kerana berurusan dengan Rusia.

Pengumuman sekatan itu memberi isyarat bahawa pentadbiran Presiden Do­nald Trump (gambar kecil) sanggup mempertaruhkan hubungan de­ngan negara-negara lain dalam kempen beliau menentang Moscow.

Mereka juga berkata, Washington akan mempertimbangkan tindakan serupa ke atas negara lain yang membeli jet tempur dan misil Rusia. Sekutu AS, Turki sedang berunding dengan Moscow untuk membeli peluru berpandu S-400.

“Sasaran sebenar sekatan ini ialah Rusia,” kata seorang pegawai pentadbiran kanan kepada wartawan.

“Sekatan CAATSA dalam konteks ini (ke atas China) bukan bertujuan untuk melemahkan keupayaan pertahanan mana-mana negara. Ia bertujuan untuk menjejaskan Rusia sebagai tindak balas terhadap aktiviti jahatnya,” kata pegawai berkenaan.

CAATSA diluluskan pada tahun 2017 sebagai alat untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada pentadbiran Trump untuk menyasarkan Rusia, Iran dan Korea Utara menerusi sekatan politik serta ekonomi.

“CAATSA diwujudkan susulan tindakan agresif Rusia di Ukraine, rampasan wilayah Crimea, pencerobohan siber, campur tangan Moscow dalam pilihan raya AS pada 2016 dan aktiviti jahat lain,” kata Jabatan Negara AS.

SUMBER: AFP


Pengarang :