EKONOMI

Terma RCEP diperhalusi, pastikan rakyat nikmati perdagangan adil

SINGAPURA, 1 SEPT: Malaysia menegaskan bahawa terma perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) diperhalusi bagi memastikannya memberi ‘perdagangan yang adil’ kepada negara selain membawa manfaat ekonomi kepada rakyat.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking yang mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat berkenaan.

“Kita akan memastikan setiap kata putus yang diambil, membawa keuntungan kepada rakyat. Walaupun kita menggalakkan perdagangan terbuka, kita juga mahukan perdagangan yang adil untuk Malaysia,” kata Darell dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara ASEAN yang turut membabitkan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Dalam pada itu, ketika rakyat sedang meraikan Hari Kebangsaan, delegasi Malaysia bagi Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-51 di Singapura, menggalas tugas mencabar membincangkan perkara berkaitan perjanjian RCEP yang masih belum dimuktamadkan.

Delegasi yang berada di republik itu sejak Isnin lalu, menghadiri mesyuarat terbabit yang diselang-seli dengan pertemuan dua hala bersama rakan ASEAN dan negara lain yang menjadi rakan dialog pertubuhan serantau itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia akan menyertai RCEP apabila ia mampu memberi manfaat kepada negara.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kerajaan belum memberi sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Kita belum membuat sebarang komitmen dan belum ada ratifikasi perjanjian berkenaan. Setakat ini juga tiada perjanjian dibuat antara negara-negara ASEAN,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin perniagaan ASEAN, di ibu negara, semalam.

Perjumpaan itu adalah anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC) dengan kerjasama Kelab Perniagaan ASEAN.

Selaras dengan keputusan Perdana Menteri itu, Darell turut mengambil kesempatan bertukar-tukar pendapat bersama semua negara anggota pada mesyuarat di Singapura selain mendalami setiap terma yang dibentangkan.

ASEAN dan rakan dialog lain yang terlibat dalam perjanjian itu kini berusaha untuk mencari kesepakatan membabitkan RCEP.

Sekiranya diratifikasi, RCEP dijangka akan meningkatkan pelaburan dalam negara yang akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat selain memastikan pelaburan di luar negara tidak terjejas.

Pada masa sama, RCEP juga berpotensi membantu industri negara termasuk industri kecil sederhana bagi memudahkan eksport keluaran sektor itu ke pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu walaupun terikat dengan jadual yang ketat, Darell sempat menemui diaspora Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura dalam satu jamuan makan malam di Agrobazaar, Sultan Gate.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :