Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak
NASIONALPENDIDIKAN

Tiada konflik kepentingan pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM

PETALING JAYA, 5 SEPT: Tidak wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik sebagai presiden baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kata mantan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Prof Datuk Dr Mizan Hitam.

Mizan berkata berdasarkan sejarah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjawat Menteri Pendidikan dari 1986 hingga 1991, pernah memegang jawatan Presiden UIAM selama sepuluh tahun.

“Anwar dilantik menjadi Presiden UIAM dari tahun 1988 hingga 1998 dan ini adalah fakta sejarah bahawa Menteri Pendidikan pernah memegang jawatan Presiden UIAM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri DAP dipetik dalam sebuah portal berita hari ini menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIAM kerana mendakwa wujud konflik kepentingan jika seorang menteri mengetuai sebuah universiti.

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM, dalam laman rasminya mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikan beliau sebagai presiden universiti itu yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mizan juga berkata beliau yakin Maszlee akan bersikap profesional dan mempunyai kefahaman luas dalam bidang pendidikan sekali gus dapat mengangkat UIAM ke peringkat tertinggi.

“Tidak wujud konflik, presiden juga mempunyai lembaga pengarah, bukan bertindak bersendirian atau semberono dalam membuat sebarang keputusan universiti itu.

“Jadi, lebih baik berfikiran positif dari negatif,” katanya yang pernah dipinjamkan ke universiti itu selama lima tahun bermula 2012 sebelum kembali ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :