GLOBAL

Tiada lagi Beetle, Volkswagen tumpu pengeluaran kereta elektrik

NEW YORK, 14 SEPT: Model ikonik Beetle keluaran Volkswagen tidak lagi dikeluarkan pada tahun hadapan.

Ketua Eksekutif Volkswagen Group of America, Hinrich Woebcken berkata, keputusan itu dibuat berikutan Volkswagen mahu memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan kenderaan berorientasikan keluarga.

Dalam satu kenyataan mengumumkan penamatan pengeluaran Beetle, Woebcken, berkata berikutan syarikat itu kini meningkatkan usaha menjayakan strategi elektrifikasi, tiada cadangan untuk menggantikan Beetle.

Bagaimanapun, Woebcken tidak menolak kemungkinan akan menghidupkan semula model itu pada masa depan, merujuk kepada keputusan syarikat itu pada 2017 untuk memperkenalkan semula Volkswagen Bus.

Volkswagen akan menawarkan model edisi terakhir Beetle dalam varian coupe dan ‘convertible’.

“Ketiadaan Beetle selepas tiga generasi, hampir lebih tujuh dekad, akan membangkitkan emosi bagi peminat setia,” kata Woebcken.

Sedan itu diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) pada 1950an dan dipopularkan menerusi filem keluaran Disney bertajuk “The Love Bug” pada 1968. – AFP


Pengarang :