NASIONAL

Tiada mangsa terlibat dalam limpahan air di terowong Simpang Pulai-Ipoh

IPOH, 26 SEPT: Tiada mangsa terlibat dalam insiden limpahan air deras dari lereng bukit yang dilaporkan berlaku di Kilometer 42, berhampiran terowong Simpang Pulai-Ipoh di sini, kira-kira pukul 2.45 petang tadi, berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi berkata, walaupun hujan sudah mula berhenti, cuma satu lorong sahaja dibuka kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan.

“Dinding konkrit yang menghalang laluan air telah pecah dan mengakibatkan limpahan air. Orang ramai diminta untuk berhati-hati ketika dalam perjalanan ke Ipoh memandangkan air yang melimpah masih laju,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Satu rakaman limpahan air deras dari lereng bukit berdurasi 0.16 saat telah menjadi viral di media sosial, sejak petang tadi.

SUMBER: BERNAMA
FOTO SUMBER: BH ONLINE/ BERNAMA


Pengarang :