SELANGOR

Timbalan Speaker alukan ADN baru beraksi di DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor disaran mengambil bahagian membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Khairuddin Othman berkata, persidangan kali ini juga merupakan peluang pertama berucap bagi ADN yang baru dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini persidangan pertama selepas pilihan raya dan sudah tentu semua ADN nak berucap namun kita alu-alukan wakil rakyat baru seperti yang dititahkan tuanku di mana kita mencipta sejarah baru apabila ramai ADN baru.

“Bagaimanapun kita lihat bagaimana aksi mereka esok dan kita akan pandu mereka mengikut peraturan tetap tetapi kita minta mereka fokus dengan apa yang dititahkan tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pandangan dilontarkan ADN semasa persidangan bakal mencorakkan hala tuju akan dibawa Kerajaan Negeri dalam isu yang dibangkitkan baginda.

Persidangan pertama DNS pasca PRU14 kali ini menampilkan ramai muka baru khasnya dalam kalangan ADN dan EXCO Pakatan Harapan.


Pengarang :