NASIONAL

Tokoh Maal Hijrah 1440H pengiktirafan untuk Dr Siddiq

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pemilihan Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 peringkat kebangsaan adalah pengiktirafan tinggi kerajaan atas sumbangannya dalam akademik dan dakwah, sejak 40 tahun lalu.

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pihak universiti merakamkan setinggi tahniah kepada Profesor Adjung UNISEL itu atas penganugerahan berkenaan.

“Dr Siddiq adalah seorang tokoh ilmuwan negara dan ahli akademik disegani menjadi rujukan peringkat nasional serta antarabangsa.

“Idea dan gagasan diilhamkannya dalam mengenengahkan Fiqh Maliziy sejak 1980an hingga kini banyak menyumbang kepada kajian dan rujukan sarjana,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Dr Siddiq yang juga Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) pernah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak 1427H/2006, banyak menyumbang kepada dunia akademik melalui Universiti Kebangsaan Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

“Semoga dengan penganugerahan ini akan menyuburkan semangat beliau untuk terus menyumbang, membangun dan memajukan umat Islam khususnya di Malaysia,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi IDE.

Sementara itu, Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim turut merakam penghargaan sama kepada Dr Siddiq yang pernah mengetuai ABIM dari 1983 hingga 1991.

Beliau berkata, kupasannya berkenaan Maqasid As-Syar’iah, Al-Islam Rahmatan Lil Alamin, Manhaj Maliziy serta Pembinaan Bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, dijadikan rujukan kontemporari umat Islam untuk mencorakkan gagasan Malaysia Baharu.

“Anugerah ini satu pengiktirafan untuk segala sumbangan beliau dalam pemikiran Islam dan kelangsungan agenda Islamisasi di tanah air.

“Semoga ia menginspirasikan seluruh warga ABIM dan umat Islam untuk terus ke hadapan menyumbang dalam lapangan dakwah di tanah air sehingga ke peringkat global,” katanya.

 


Pengarang :