PELANCONGANSELANGOR

Tourism Selangor agresif perluaskan pelancongan golf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 26 SEPT: Tourism Selangor terus agresif dalam menonjolkan setiap dimensi produk pelancongan berasaskan sukan golf yang setanding negara luar.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, selaku pemain utama industri pelancongan di negeri itu, pihaknya berhasrat menjadikan sukan golf sebagai satu hak pelancongan.

Katanya, sebelum ini sukan golf diletakkan sepenuhnya di bawah pengurusan pelancongan sukan (Sport Tourism).

“Tetapi, memandangkan kedudukan Selangor amat strategik dengan keseluruhan 29 padang golf yang ternama dan ekskusif berada di negeri ini, kami yakin dapat meneruskan promosi produk pelancongan golf ke tahap lebih tinggi.

“Malah, ramai pemain golf dari negara luar telah menyaksikan sendiri keindahan dan keistimewaan bermain di Malaysia, sekali gus melihat ia sebagai salah satu destinasi golf terulung di dunia.

“Selain itu, kita cuba untuk bersaing dan mengekori rapat dalam perkembangan ini, meskipun kita memiliki keistimewaan serta budaya tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pemain golf dari luar untuk datang ke Malaysia, khasnya di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Gala Networking Dinner Tourism Selangor-IAGTO Golf FAM Trip 2018, di Hotel Premier, di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Noorul Ashikin berkata, usaha dijalankan pihaknya ke arah membangunkan pelancongan golf itu turut diperhebatkan dengan kerjasama erat Persatuan Pengendali Pelancongan Golf Antarabangsa (IAGTO).

Katanya, beberapa skop perbincangan dua hala sudah dibuat pihaknya bersama IAGTO bagi mengetahui prestasi semasa pasaran golf di peringkat global.

“Penyertaan dari Singapura, Indonesia, Vietnam, Korea dan Thailand mampu mengukuhkan lagi jaringan kerjasama dalam sektor pelancongan golf Selangor.

“Ia juga memberi keyakinan kepada kami untuk melihat Malaysia sebagai salah satu destinasi utama sukan golf di Asia Tenggara dan diteruskan sehingga ke Asia Barat serta Timur.

“Selepas ini kita akan mengadakan direktori khas kepada sukan golf dan mula berjumpa dengan syarikat pelancong yang mempromosi acara golf sebagai destinasi,” katanya.

Terdahulu, acara makan malam itu turut menghimpunkan beberapa agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa.

 


Pengarang :