NASIONAL

TPM: Kerajaan Persekutuan dukung prinsip MA63 dalam Batu Sumpah Keningau

KENINGAU, 17 SEPT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan akan mendukung prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebahagiannya tercatat di dalam Batu Sumpah Keningau.

Katanya kerajaan persekutuan berpendirian asas-asas utama 20 perkara MA63 yang tercatat pada Batu Sumpah Keningau harus dihormati.

“Batu sumpah ini merupakan satu artifak sejarah yang terkandung (di dalamnya) ringkasan perjanjian dan tanggungjawab kerajaan Malaysia kepada rakyat Sabah,” katanya semasa berucap merasmikan Program Memperkasa Komuniti Pengguna bersempena Sambutan Hari Malaysia 2018, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew dan Ketua Setiausaha KPDHEP Datuk Seri Jamil Salleh.

Baru-baru ini, batu sumpah berkenaan dipindahkan dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau dengan kos kira-kira RM1.025 juta.

Semalam, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :