NASIONAL

TPM: Penyalahgunaan dadah punca keruntuhan sistem perpaduan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 1 SEPT: Penyalahgunaan dadah menjadi faktor utama yang menjurus kepada keruntuhan sistem perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain menimbulkan pelbagai kesulitan, Dr Wan Azizah berkata, pergaduhan yang membawa kepada ketidaktenteraman dalam institusi masyarakat akan tercetus.

Katanya, ia bakal menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sekiranya tidak dibendung secara kolektif.

“Umum mengetahui bahawa masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan sosial komuniti, jadi peningkatan gejala sosial masa kini amat saya titik beratkan dan peka terhadap permasalahan sosial melibatkan masyarakat.

“Mengikut laman web Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga, jumlah penagih dikesan mengikut status kes dilaporkan pada 2017 sebanyak 18,440 kes baru dan 7,482 kes berulang. Ini membawa maksud sebanyak 25,922 kes dilaporkan sehingga 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Slot Santai@UNISEL Siri 10, Karnival Komuniti dan Hari Terbuka Unisel, di Desa Mentari, di sini, petang ini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, penyalahgunaan dadah turut membawa kepada peningkatan kadar jenayah dalam negara.

“Ini kerana dadah bukan sahaja menjadi toksik kepada masyarakat malah membuka ruang besar kepada jangkitan penyakit berbahaya seperti AIDS.

“Penagih dadah sangat berisiko dijangkiti penyakit AIDS berikutan perkongsian jarum suntikan ketika aktiviti penagihan dadah dilakukan.

“Sekiranya penagih telah positif dijangkiti penyakit tersebut, mereka ada kemungkinan untuk menyebar penyakit kepada ahli keluarga terdekat dan keluarga yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah menyeru semua komuniti supaya menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan, malahan tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat.

Katanya, dengan adanya program itu akan dapat memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai perkara yang berkaitan pembangunan sosial di Malaysia, khususnya di Selangor.

“Program seperti ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya sekali berkaitan langkah pencegahan jenayah, informasi berkenaan dadah dan tindakan yang patut dilakukan dalam usaha mencegah gejala penagihan dadah di kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Slot Santai@UNISEL Siri 10 bertajuk “Dadah 1001 Masalah” itu merupakan pendekatan strategik bagi mengupas berkenaan isu berkaitan penyalahgunaan dadah.


Pengarang :