NASIONALSUKANKINI

TPM: Semoga Chong Wei cepat sembuh

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat mendoakan kesembuhan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini dirawat di Taiwan, akibat barah hidung.

Wan Azizah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran itu melalui laman media twitternya, @drwanaziah

“Berduka mendengar perkhabaran Datuk Lee Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal.

“DCLW sedang menerima rawatan di Taiwan. Sama-sama kita mendoakan DLCW diberi kesembuhan sempurna,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal dan sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Katanya, proses rawatan berjalan lancar dan ketika ini jaguh perseorangan negara itu sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dan berdoa untuk dirinya.

“Sokongan anda memberi kekuatan kepada Chong Wei,” katanya.


Pengarang :