NASIONAL

Tumpu PRK Port Dickson, tangguh pemilihan parti

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 SEPT: KEADILAN digesa menangguhkan proses pemilihan parti di semua peringkat bagi memberi tumpuan ke arah menjamin kemenangan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ia penting bagi menjamin akauntabiliti dan keberadaan semua pihak untuk berkubu di Parlimen itu tanpa mengecualikan mana-mana pihak daripada terbabit dalam kempennya.

“Saya yakin dengan muafakat dalaman KEADILAN akan menghasilkan impak positif, sekali gus menjamin kemenangan Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat memimpin agenda reformasi institusi parlimen.

“Demi masa depan Malaysia lebih berdaya utuh, bersama kita mengabdikan diri demi perjuangan, maslahah KEADILAN dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, pengumuman Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson, semalam, dialu-alukan sebagai langkah pemulaan Anwar memimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) melalui inisiatif reformasi Parlimen.

Walaupun wujud pelbagai pandangan berhubung perkara itu, katanya, beliau yakin usaha terbabit wajar diraikan dalam keadaan muafakat PAKATAN dan persediaan awal untuk Anwar kembali aktif dalam politik negara.

“20 tahun reformasi adalah satu fasa panjang, memperlihatkan turun naik karier beliau dan KEADILAN tidak terkecuali dalam lima siri pilihan raya, sudah pasti ia wajar didukung di sebalik perbezaan pandangan yang timbul.

“Matlamat kita jelas iaitu menyubur dan menghidupkan agenda reformasi ke arah mengisi Malaysia Baharu,” katanya.


Pengarang :