NASIONAL

Tun M: Pimpinan Umno sudah menyeleweng, lari daripada perjuangan asal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pimpinan Umno sudah menyeleweng serta lari jauh daripada landasan bahkan perjuangan Umno sebenar.

Beliau berkata pendirian serta kesetiaan ahli Umno kepada parti itu sehingga mereka tidak nampak perubahan yang telah berlaku dalam sikap kepimpinan Umno.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu Dr Mahathir mengakui bahawa PPBM merupakan parti yang memperjuangkan Bumiputera dan Melayu.

Katanya beliau sedar bahawa pasti ada yang memikirkan bahawa PPBM rasis dan bersifat perkauman tidak seperti parti lain dalam Pakatan Harapan yang berbilang kaum dan bangsa.

“Ya, ini mungkin hasrat kita. Tetapi hakikatnya ialah penduduk Malaysia, pengundi Malaysia masih terbahagi kepada berbagai kaum. Masing-masing ingin kekal identiti kaum.

“Ia jelas apabila kita meletak calon (dalam pilihan raya). Jika kita ingin menang tentukan kaum calon sama dengan tempat mereka bertanding.

“Hal itu jelas dilihat dilakukan oleh semua parti. Kita belum sampai ke tahap kaum calon tidak dipedulikan. Kita tahu orang Melayu kurang selesa jika kaum lain perjuangkan hak mereka.

“Begitu juga kaum lain. Sebab itu kita tidak dapat letak calon Melayu di bandar atau calon Cina atau India di luar bandar,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau faham sekiranya Melayu masih kurang senang akan keselamatan dan masa depan mereka jika tidak diwakili oleh wakil sebangsa dengannya.

“Walaupun parti berbilang kaum tetapi kaum diambil kira juga apabila meletak calon. Jika tidak, ia akan mengundang kekalahan.

“Di waktu parti Bersatu ditubuh kita sedar bahawa untuk mengalah parti perkauman UMNO, hanya parti Melayu sahaja boleh berjaya melakukannya. Jika tidak, maka parti lawan atau pembangkang akan gagal. Ini adalah kerana orang Melayu tidak percaya nasib mereka akan dibela oleh parti bukan Melayu atau parti campuran kaum,” katanya.

 


Pengarang :