SELANGOR

Urus pintu masuk negara dengan baik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 14 SEPT: Pembangunan di Sepang perlu diurus dengan cermat ekoran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak, di daerah itu adalah pintu masuk utama negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Sepang bakal memberi tanggapan pertama pelawat asing terhadap negara ini.

“Isu yang saya bangkitkan di Sepang ini ialah menyarankan keperluan daerah itu diuruskan dengan baik kerana ia kawasan meningkat membangun dengan rancak, juga pintu masuk utama negara dengan adanya KLIA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain pintu masuk utama negara, Sepang juga mempunyai beberapa kawasan pelancongan menarik seperti Avani Sepang Goldcoast.

Katanya, bagi sektor pertanian pula, Sepang juga terkenal sebagai antara daerah pengeluar buah naga terbesar negara.

“Sepang antara kawasan pengeluar buah naga terbesar di Malaysia dianggarkan lebih 122 hektar dan kawasan yang sangat membangun, misalnya di mukim Dengkil yang memiliki Cyberjaya.

“Jika dapat kita seimbangkan pembangunannya dan memastikan aspek penjagaan alam sekitar, kita akan memiliki kawasan bandar yang maju dengan alam sekitarnya terpelihara,” katanya.


Pengarang :