ALAM SEKITAR & CUACAGLOBAL

Usaha halang Glasier Thwaites jatuh ke dalam laut

PARIS 22 SEPT: Para saintis mencadangkan untuk membina struktur dasar laut secara besar-besaran bagi menghalang Glasier Thwaites sebesar negara Britain daripada jatuh ke dalam laut dan menyebabkan paras laut dunia naik setinggi beberapa meter.

Antara dua cadangan dikemukakan oleh para saintis untuk menampung Glasier Thwaites ialah membina tiang bersaiz Menara Eiffel yang dipasang di bawah permukaan air bagi menyokong bahagian sisi glasier berkenaan.

 

Cadangan kedua ialah membina tembok di bawah permukaan air setinggi 100 meter serta sepanjang 80 hingga 100 kilometer dikenali sebagai Opsyen Dua yang akan dibina di bawah permukaan ais untuk menghalang aliran air panas daripada menghakis permukaan bawah glasier.

“Glasier Thwaites boleh menyebabkan bongkah ais runtuh sekali gus menyebabkan paras laut dunia naik kira-kira tiga meter.

“Masyarakat saintifik perlu berhati-hati menyiasat kemungkinan geokejuruteraan gla­sier. Terdapat beratus juta orang tinggal dalam lingkungan beberapa meter dari paras laut,” kata penulis utama jurnal European Geophysical Union, Michael Wolovick.

Sehingga baru-baru ini, kenaikan paras air laut disebabkan pemanasan global namun kini faktor terbesar ialah bongkah ais yang runtuh di Greenland dan benua Antartika.

Greenland dan Antartika Barat lebih mudah terdedah kepada pemanasan global berbanding Antartika Timur apabila mengandungi air beku mencukupi untuk menaikkan paras air laut kepada kira-kira 12 meter.

Namun, dalam kes seperti Thwaites, tindakan segera perlu diambil.

“Thwaites mungkin sudah melepasi titik kritikal, kita tidak akan pasti selama satu atau dua dekad. Tetapi pergerakan gla­sier itu bermula perlahan, jadi kita mempunyai masa selama satu abad untuk menghalang­nya daripada runtuh,” kata penulis bersama jurnal terbabit, John Moore.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :