GLOBAL

Usaha pindahkan 3,000 penumpang, pekerja terkandas akibat Taufan Jebi

TOKYO 6 SEPT: Usaha untuk mengosongkan sebuah lapangan terbang utama di Jepun giat dilakukan semalam selepas orang ramai terperangkap berikutan satu-satunya laluan masuk rosak akibat Taufan Jebi.

Sebilangan bot membawa penumpang keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai selepas beribu-ribu orang terpaksa bermalam di fasiliti tersebut. Sebahagian lapangan terbang itu telah dinaiki air.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai merupakan antara yang paling sibuk di Jepun.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 11 orang maut dan lebih 300 lagi cedera apabila Taufan Jebi membadai kawasan pengilangan utama di sekitar bandar kedua terbesar Jepun, Osaka.

Ribut itu membawa angin berkelajuan sehingga 216 kilometer sejam yang mengakibatkan bumbung kediaman terbang, treler terbalik dan mengakibatkan sebuah kapal tangki seberat 2,500 tan melanggar sebuah jambatan menghala ke lapangan terbang itu.

Kerosakan pada jambatan menyebabkan lapangan terbang di pulau buatan manusia itu terputus hubungan, manakala kira-kira 3,000 penumpang dan kakitangan terkandas.

Landasan-landasan turut ditenggelami air selepas ombak besar melanda lapangan terbang itu kelmarin.

Menjelang tengah hari semalam, beberapa ratus orang berjaya dipindahkan ke Kobe dengan menggunakan bot, namun masih terdapat lebih dua ribu mangsa menunggu untuk diselamatkan.

Belum ada makluman bila lapangan terbang yang mengendalikan lebih 400 penerbangan sehari itu akan dibuka semula.

SUMBER: AFP


Pengarang :