BERITA UTAMAEKONOMISELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Usahawan wanita perlu berani depani risiko, cari peluang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 SEPT: Usahawan wanita disaran tampil berani mengorak langkah ke hadapan bagi mempromosikan produk mereka ke pasaran global.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata mereka perlu bijak mencari setiap ruang dan peluang untuk menjana lebih pendapatan.

Katanya, usahawanita makro pada mulanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan turut berpotensi melonjakkan perniagaan ke tahap yang lebih baik dan berdaya saing.

“Mereka perlu berani mengambil sebarang risiko berlaku dalam perniagaan. Jangan salahkan orang lain jika tidak berjaya kerana saya yakin, jika mereka berani mengambil itu sebagai satu cabaran, sudah tentu akan ada jalan keluar ke arah itu.

“Saya mahu usahawan wanita membuktikan yang mereka boleh mencipta kejayaan bermakna dalam bidang keusahawanan ini, walaupun secara kecil-kecilan tetapi impaknya nanti lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Terdahulu, program itu adalah usaha Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor yang disertai kira-kira 200 usahawanita dari seluruh Selangor untuk didedahkan dengan jalan penyelesaian (Solution Platform) berkaitan semua bentuk kemudahan dan program keusahawanan disediakan MARA.

Rodziah berkata, usahawanita juga perlu memiliki semangat juang dan jati diri yang tinggi bagi memikirkan jalan untuk meningkatkan perniagaan.

Katanya, ia penting bagi memotivasikan diri sendiri sekali gus mengekalkan tahap motivasi yang stabil untuk jangka masa panjang.

“Sehingga kini, seramai lebih 3,200 usahawan berjaya dilahirkan dan ini merupakan suatu jumlah yang agak besar kerana mereka cenderung dan positif dalam memastikan perniagaan mereka berhasil.

“Tetapi apa yang tertinggal sekarang ialah kekuatan jati diri kerana saya melihat bahawa amat penting jika seseorang yang mahu terus berjaya dalam perniagaan untuk mengubah jati diri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan Mock Cheque berjumlah RM360,000 kepada empat penerima bagi Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM), Pembiayaan DanaNita dan Pembiayaan PUTRA.


Pengarang :